Wednesday 31 August 2016

Hikayat Eyza Sakura Eps. 3


...detik demi detik yang berlalu seakan tidak terasa masa yang silih berganti...musim salju kian menjelang tiba. Sedingin hati Sakura. Sasuke tiba-tiba hilang tanpa khabar berita. Utusan dari merpati setia sudah tidak kunjung tiba. Sakura pasrah. Sekian kali hati nya ditinggalkan oleh jiwa-jiwa yang membisu. Sahabat baik Sasuke menyedari perubahan Sakura lalu cuba untuk membantu mengurangkan gundah-gulana yang dirasakan oleh Sakura. Senyuman dan perhatian yang diberikan membuatkan Sakura terlupa tentang Sasuke buat seketika.

Suatu petang, ketika Sakura beristirehat di bawah Pohon Cemara berhampiran Tasik Cenderawasih yang penuh dengan aneka warna teratai, Sakura telah disapa oleh seorang sahabat baiknya, Utada. Tanpa diduga, Utada membawa khabar berita yang kurang baik. "Hikaru dalam bahaya!". Dari riak wajah yang diberikan oleh Utada, Sakura yakin yang sahabatnya tidak bergurau, malah setahu Sakura sahabatnya itu jarang mengutarakan perkara yang bernada gurauan dan sememangnya Utada adalah orang yang banyak membantu Sakura untuk mendengar maksud disebalik puisi indah Hikaru. 

"Dalam bahaya? Apa maksud kamu Utada?". Sakura bingkas bangun dari tempat duduknya.
"Hikaru dalam tahanan Bima Sakti! Sebagai tebusan, pihak Bima Sakti mahukan Inderasuka melakukan genjatan senjata".
"Apa?!". Sakura terduduk. Matanya berkaca. Utada memahami perasaan sahabatnya lalu memeluk erat Sakura. Dalam hening petang itu, kedengaran sendu halus dari Sakura. Burung-burung, pokok-pokok dan bunga tertunduk sayu. Bayu juga tiba-tiba hilang getarannya. Seakan turut bersimpati dengan diri Sakura.

Sakura bingkas menaiki kuda unikorn berwarna putih miliknya. Istimewanya unikorn milik Sakura apabila mampu membaca isi hati manusia. Tanpa dipinta oleh Sakura, Unikorn miliknya melangkah demi langkah dan semakin laju. Sekelip mata hilang dari pandangan. Hajat di hati cuma satu, menyelamatkan Hikaru!

Semasa tiba di Bima Sakti, kelihatan beberapa orang tentera Bima Sakti sedang berjaga dan dari pandangan sisi atas, Sakura dapat melihat beberapa orang tahanan yang sedang dibiarkan berdiri berhampiran unggun api yang tengah marak, dari kejauhan itu Sakura dapat mengenal pasti kelibat Hikaru. Sayu hati Sakura apabila melihat keadaan Hikaru yang tertunduk tak bermaya, dari tubuh badan yang longlai kelihatan seperti Hikaru mendapat kecederaan. Sakura yakin Hikaru telah bertarung dengan tentera Bima Sakti dengan sedaya-upayanya kerana Sakura cukup kenal akan semangat juang Hikaru. Malah Hikaru bukanlah seorang yang pantang menyerah kalah.

Sakura menyelinap masuk perlahan-lahan ke dalam kawasan Bima Sakti yang penuh dengan penjagaan yang rapi daripada tentera Bima Sakti. Sakura mengeluarkan seuncang emas pemberian ibundanya. Kelihatan uncang emas tersebut bersinar-sinar dan kelihatan ukiran Bunga Sakura pada kain baldu uncang tersebut. Pada hujung tali uncang tersebut juga terdapat untaian ukiran Bunga Sakura berwarna merah jambu. Sakura perlahan-lahan membuka uncang tersebut dan membukanya, ternyata di dalam uncang tersebut mengandungi tujuh butir permata yang lutsinar dengan berbeza warna setiap satunya. Sakura kemudian mengambil permata berwarna hijau dan meletakkan permata tersebut pada dahinya. Tidak berapa lama kemudian, Sakura ghaib dari pandangan.

Keadaan Sakura yang halimunan itu membantu dirinya untuk masuk melalui pintu gerbang Bima Sakti yang dikawal kemas oleh Panglima Perang Bima Sakti. Sakura kemudian dengan pantas berjalan menuju ke kawasan lapang di mana tempat orang tahanan yang masih berada di dalam kawalan tentera Bima Sakti.
"Sakura...". Belum sempat Sakura mendekati Hikaru namanya sudah disebut dan perkara itu mengejutkan Sakura kerana dirinya beranggapan sakti halimunannya telah hilang. Namun setelah diperiksa ternyata hanya Hikaru yang melihatnya. Sakura melupakan seketika kejadian yang baru berlaku kerana baginya perkara utama adalah menyelamtkan Hikaru. Sakura mengeluarkan sebilah pisau miliknya dan cuba membuka ikatan yang terdapat pada tubuh badan Hikaru. Setelah berjaya membuka semua ikatan, Hikaru bingkas bangun dan membawa

Thursday 2 June 2016

Hikayat Eyza Sakura Eps. 2

Sasuke diperintahkan oleh Maharaja supaya menjaga kawasan Inderasuka. Pada ketika itu Sakura juga turut menerima mandat yang sama walaupun tugas Sakura lebih kepada memastikan pentadbiran Inderasuka berjalan dengan lancar, sedangkan Sasuke perlu menjaga kawasan dan memastikan setiap daripada kakitangan Inderasuka menjalani latihan dengan sebaik mungkin. 

Ketika pertama kali Sakura melihat Sasuke, perasaannya beku. Cuma memandang ibarat masakan tanpa garam. Tawar. Sasuke juga begitu, hanya mampu tunduk sebagai tanda memberi hormat. 

Saban hari Sasuke mula memperlihatkan minat kepada Sakura. Setiap kali perjumpaan dilakukan, pastinya Sasuke hadir dengan membawa kuntuman bungan Sakura lalu dibiarkan diletak di atas meja Sakura. Namun perkara itu hanya mengingatkan Sakura kepada Hikaru. Sakura terkenangkan bagaimana, Hikaru gemar mengarang mahkota menggunakan ranting-ranting, daun dan bunga sakura. Sulamannya indah. Gubahannya kemas dan cantik. Sakura sedar yang dirinya masih tidak dapat melupakan Hikaru.

Namun setiap kali terkenangkan Hikaru, tiap kali itu jugalah Sakura akan berasa sakit hati. Sakit hati kerana apa? Sakura tidak mampu menjawabnya. Sungguh Sakura benci tapi jauh di sudut hatinya dia benar-benar rindukan Hikaru. Satu-persatu, Sakura mula menghilangkan kenangan Hikaru. Di saat itu juga Sasuke akan muncul. Sasuke berusaha untuk mendekati Sakura. 

Perhubungan antara Sasuke dan Sakura terjalin dengan erat, mereka mula saling mengenali dan saling bertukar cerita. Sasuke mahukan hubungan mereka digelar sebagai "sahabat". Sakura menerima permintaan itu. Sejak dari hari itu, mereka pun bersahabat sehinggalah satu hari, Sasuke meletakkan jawatan dan meminta untuk bertugas di sebuah daerah lain. Sasuke memberitahu Sakura yang dirinya ingin mendapatkan suatu bidang tugas yang boleh memberikannya satu jaminan yang lebih baik. Sakura faham. Perpisahan ini tidak menjadikan hubungan mereka bertambah jauh sebaliknya Sakura dan Sasuke masih terus berhubung dengan adanya merpati putih sebagai pengutus khabar.

Friday 27 May 2016

Hikayat Eyza Sakura Eps. 1



...sudah hampir empat tahun...Sakura dan Hikaru tidak bersua...sudah mencecah dua tahun mereka sudah tidak lagi berhubung. Bayu sudah tidak lagi menjalankan peranannya setelah Sakura meminta Hikaru membuat pilihan sama ada untuk meneruskan untuk berbicara tanpa noktah atau membuat satu keputusan muktamad. Sakura menanti dalam dilema. Namun, Hikaru tetap diam seribu bahasa, Hikaru tidak ada jawapn yang jelas. Sakura merana lagi setelah Hikaru membiarkannya terus menanti di bawah pohon Semarak. Ternyata bunga Semarak tidak semerah bara api cintanya ketika itu. Sakura juga membisu, lalu tinggalah ceritera ini dihanyutkan oleh arus masa.

Demikian saat yang berlalu, Sakura mula melupakan Hikaru, setiap kali melihat langit biru maka ketika itu juga Sakura teringatkan Hikaru. Bukan mudah melupakan begitu sahaja. Lalu hari-hari Sakura dibiarkan berlalu tanpa bayangan Hikaru. Sampai satu ketika Sasuke pula hadir dalam hidup Sakura. Sasuke hadir tanpa diduga dan ketika itu hati Sakura masih teringatkan Hikaru...